Friday, February 04, 2005

Siti pertahan anugerah MTVAA



SITI NURHALIZA membuat persembahan pada majlis
penganugerahan MTV Asia Aid Awards (MTVAA) 2005 di
Bangkok, malam tadi. – Gambar AFP



BANGKOK: Keunggulan Siti Nurhaliza sebagai artis nombor satu negara belum mampu dicabar apabila sekali lagi dinobatkan sebagai Artis Pilihan Malaysia pada majlis penganugerahan MTV Asia Aid Awards (MTVAA) 2005 yang berlangsung di Impact Arena, di sini, malam tadi.

Kemenangan itu melakar makna yang cukup besar bagi penyanyi dari Kuala Lipis, Pahang itu apabila mengunggulinya selama empat tahun berturut-turut.

Dengan wajah ceria, Siti yang turut membuat persembahan malam tadi, bersyukur dengan kemenangan itu dan berterima kasih kepada pihak penganjur serta semua peminat MTV yang sekali lagi memilihnya.

Bagi kategori itu, Siti menewaskan saingannya untuk dua tahun berturut-turut iaitu Too Phat dan Misha Omar, selain Ruffedge dan Spider.

Selain Artis Pilihan Malaysia, MTVAA 2005 turut menyediakan sembilan lagi anugerah bagi kategori Asia.

Ia menyaksikan kemenangan Stesanie Sun dari Singapura, Peter Pan (Indonesia), Joey Yung (Hong Kong), Rain (Korea), Strings (India), Sun Yue (China), Silly Fools (Thailand), Rivermaya (Filipina) dan Jay Chou (Taiwan).

MTVAA 2005 mempertandingkan 19 kategori, 16 pemenang ditentukan menerusi undian penonton MTV. Manakala tiga lagi anugerah khas - Anugerah Filem Asia, Anugerah Stail dan Anugerah Inspirasi diberikan MTV Asia sebagai penghargaan terhadap anak seni Asia yang berjasa.

Kategori antarabangsa lebih memberi saingan, namun tuah menyebelahi Usher yang dinobatkan Artis Lelaki Pilihan, Avril Lavigne (Artis Wanita Pilihan) dan Simple Plan (Artis Pop Pilihan).

Turut menerima trofi malam tadi ialah Ashlee Simpson (Artis Baru Pilihan), Maroon Five (Klip Video Pilihan) dan Hoobastank (Artis Rock Pilihan).

MTVAA 2005 juga menyediakan tiga anugerah khas iaitu Anugerah Filem Asia yang diberikan kepada Kung Fu Hustle, manakala Nigo menerima trofi Anugerah Stail.

Anugerah Inspirasi pula ditujukan kepada semua mangsa tsunami.

Majlis gemilang itu turut dimeriahkan dengan kehadiran artis terkenal antaranya Simple Plan, Good Charlotte, Alicia Keys dan Kelly Clarkson.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home