Thursday, February 24, 2005

Suhu dijangka mampu mencecah 40 darjah celsius

Excerpt : Utusan

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Berikutan keadaan cuaca panas dan kering, suhu di negara ini dijangka mampu mencecah hingga 40 darjah celsius.

Ketua Penolong Pengarah Pusat Ramalan Kaji Cuaca, Jabatan Perkhidmatan Kaji Cuaca, Wong Teck Kiong berkata, bagaimanapun ia tidak memecahkan rekod yang pernah dicatatkan iaitu 40.1 darjah celsius pada 9 April 1998, di Chuping Perlis.

Menurutnya, keadaan itu berlaku di sebabkan ekuinoks iaitu keadaan ketika matahari bergerak menghampiri garisan khatulistiwa yang dijadualkan berlaku pada 21 Mac depan.

``Sebagaimana kita maklum kedudukan Malaysia berhampiran garisan tersebut, bagaimanapun ini fenomena biasa dan orang ramai tidak perlu bimbang,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi, hari ini.

Teck Kiong berkata demikian ketika diminta mengulas keadaan cuaca yang terlalu panas hingga mencatatkan 38.3 darjah celsius di Alor Star semalam.

``Perubahan (kepanasan) itu dapat kita rasakan di kebanyakan bandar sepanjang dua minggu lalu berbanding purata suhu biasa di negara ini antara 34 hingga 35 darjah celsius,'' katanya.

Menurutnya, berdasarkan pemantauan, kawasan yang paling teruk dilanda cuaca panas kering dengan purata suhu antara 36 dan 37.2 darjah celsius ialah di utara Semenanjung.

Katanya, keadaan itu berlaku berikutan tidak ada tompokan awan mendung di kawasan terbabit.

``Kami menjangkakan mulai semalam hingga hujung Mac depan cuaca panas dan kering akan berterusan di kebanyakan tempat, kecuali ribut petir yang berlaku sekali-sekala sebelah petang di kawasan tengah dan selatan Pantai Barat Semenanjung dan barat Sarawak,'' katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home