Tuesday, February 01, 2005

Tsunami: Mayat masih berdarah dijumpai

Excerpt from Utusan


Daripada: AMIR SARIFUDIN dan RAJA LUVENA SHARIFUDDIN

BANDA ACEH 31 Jan. - Satu lagi keajaiban berlaku. Pasukan penyelamat Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjalankan operasi mencari, menjumpai mayat seorang lelaki yang masih berdarah walaupun bencana tsunami telah berlaku lebih sebulan lalu.

Mayat lelaki berusia 20-an itu ditemui di belakang sebuah hospital berhampiran Masjid Baiturrahim di Bhayang Kara di sini semalam.

Sebaik sahaja ditemui, anggota-anggota PDRM yang mengangkat mayat berkenaan mendapati darah masih menitis.

Mayat mangsa juga didapati masih elok.

Perkara itu diceritakan oleh Pegawai Pemerintah Medan Ops Hati Budi PDRM, Supritendan Md. Yusoff Disa kepada Utusan Malaysia.

Katanya, anggota-anggota PDRM pada mulanya rasa terkejut kerana menyangka mangsa berkenaan seolah-olah baru sahaja meninggal dunia.

``Ketika diangkat, darah mangsa tsunami itu masih menitis. Mayatnya juga elok.

``Mayat mangsa itu ditemui tertimbus di bawah batu-bata dari rumah bangunan,'' katanya.

Minggu lalu, pasukan penyelamat Malaysia itu menemui mayat dipercayai sepasang suami isteri berpelukan bersama mayat empat anak mereka yang masih dalam keadaan elok.

Mayat si bapa ditemui sedang memeluk seorang anaknya manakala si ibu pula memeluk tiga orang anaknya yang lain.

Mayat keluarga itu ditemui dalam Masjid Baiturrahim.

``Disebabkan keadaan mayat itu, usaha memisahkan mereka bagi membolehkan setiap mangsa dimasukkan dalam karung plastik gagal kerana jasad melekat antara satu sama lain,'' kata Md. Yusoff.

Sambil mengagumi kebesaran Tuhan, beliau berkata, adalah sesuatu yang menakjubkan dan luar biasa apabila mayat yang telah lebih sebulan masih berada dalam keadaan baik.

Ketika ditemui hari ini pula, Md. Yusoff berkata, sepanjang operasi mencari mayat, ada kalangan anggota PDRM yang cedera disebabkan terkena paku dan benda tajam.

Menurutnya, walaupun luka yang dialami kecil, namun anggota-anggota terbabit telah dihantar ke Hospital Bergerak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Gue Gajah, untuk rawatan.

``Walaupun cederanya kecil tetapi kami kena berhati-hati supaya tidak berlaku jangkitan kuman.

``Bagaimanapun sehingga kini, semua anggota PDRM berada dalam keadaan sihat dan penuh bersemangat untuk meneruskan tugas,'' katanya.


0 Comments:

Post a Comment

<< Home