Saturday, February 05, 2005

Vietnam larang ternak itik, puyuh

Excerpt : BH

HANOI: Vietnam semalam menggantung serta merta semua kegiatan penternakan itik dan burung puyuh bagi memerangi wabak selesema burung yang merebak ke 33 daripada 64 bandar dan wilayahnya.

Perdana Menteri Phan Van Khai mengarahkan tindakan itu berkuat kuasa serta merta, kata Bui Quang Anh, Ketua Jabatan Kesihatan Haiwan, Kementerian Pertanian.

“Virus itu didapati berada lebih lama dalam itik dan burung puyuh. Itik pula diternak berhampiran air yang menyukarkan kita mengawalnya,” katanya sambil menambah tiada keputusan dibuat berhubung tempoh penggantungan itu.

Awal minggu ini, Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) dan Pertubuhan Kesihatan Haiwan (OIE) berkata, spesies burung air terutamanya itik disifatkan ‘lubuk’ jangkitan itu.

“Peluang virus itu tersebar daripada itik yang mendiami kawasan paya luas ke unit ladang penternakan di perkampungan atau ladang komersil perlu dihadkan,” lapor agensi PBB itu.

“Langkah keselamatan-bio yang tegas perlu diamalkan bagi semua peringkat memproses ternakan, dari ladang ke saluran pengagihan, pasar dan peruncit.”

Sementara itu, pegawai Vietnam berkata, ibu kota perniagaan di selatan negara itu, Ho Chi Minh mula membunuh itik bagi mengehadkan risiko jangkitannya kepada manusia. – AFP

0 Comments:

Post a Comment

<< Home