Saturday, February 05, 2005

Wajibkan pasang alat berciri keselamatan

Excerpt : Utusan

Oleh: HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 4 Feb. - Kerajaan digesa mewajibkan pengeluar kereta tempatan memasang peralatan yang memenuhi ciri-ciri keselamatan pada kereta persendirian di negara ini.

Gesaan itu disuarakan oleh pihak-pihak yang terbabit dalam industri automobil setelah mendapati pengeluar kenderaan tempatan kurang memberi penekanan kepada aspek keselamatan.

Mereka berpendapat, pemasangan alat berkenaan mampu mengurangkan risiko kadar kemalangan yang mengakibatkan kematian atau kecederaan parah seperti di negara-negara Eropah.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Aishah Ahmad berkata, langkah itu dilihat sebagai inisiatif terbaik selain mengehadkan bilangan penumpang dalam usaha mengurangkan nahas jalan raya.

``Namun perkara ini sudah tentu akan melibatkan pertambahan kos tetapi saya percaya ia hanyalah antara empat hingga lima peratus sahaja dari harga kereta dan kos ini mampu diserap oleh pengguna.

``Ini kerana pelbagai kemudahan kewangan disediakan sekarang terutama faedah pinjaman yang rendah serta tempoh pembayaran yang panjang dan bayaran muka yang boleh dibuat dengan lebih rendah,'' katanya.

Beliau diminta mengulas cadangan kerajaan untuk mengehadkan tidak lebih lima penumpang bagi kereta kecil.

Langkah itu yang akan dibincangkan oleh Kabinet pada pertengahan tahun ini untuk mengurangkan kadar kemalangan maut.

Menurut Aishah, kereta yang mempunyai ciri-ciri keselamatan mampu membantu industri automotif tempatan menghadapi pasaran bebas di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA).

``Sebab itu mereka akan tetap perlu memasangnya suatu masa nanti dan daripada kita tunggu masa tersebut sampai, tidakkah lebih baik mewajibkan ia dipasang sekarang,'' ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer Sdn. Bhd., (Puspakom), Salamat Wahid berpendapat, sebarang kaedah perlu dilaksanakan bagi mengurangkan risiko kemalangan.

Baginya, pemasangan peralatan tambahan sebagai ciri keselamatan seperti di Eropah, terbukti berkesan walaupun terpaksa berdepan dengan masalah kos yang lebih tinggi.

``Namun pada saya kerajaan boleh membuat kajian lanjut terhadap perkara ini khususnya tentang kebaikannya dan juga kesan dari segi kos terhadap pengguna,'' ujarnya.

Pengerusi Persatuan Automobil Malaysia (AAM), Tunku Datuk Mudzaffar Tunku Mustapha juga mahukan agar tahap standard keselamatan kenderaan perlu ditingkatkan.

Beliau berpendapat sikap pemandu tetap menjadi faktor penting bagi mengurangkan nahas jalan raya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home