Friday, February 04, 2005

Weblog: Kaedah terkini berkarya di ruang maya

Excerpt : BH

Oleh Shaidah Shafie

DISKUSI ‘Weblog: Ruang Ekspresi Idea dan Sastera’ di Rumah Persatuan penulis Nasional (Pena), Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur, baru-baru ini, mendedahkan kaedah terkini dalam menghasilkan karya di ruang maya.

Lebih 30 khalayak kalangan pengkarya di ruang maya tekun mendengar wacana selama dua jam anjuran Pena yang menampilkan tokoh berwibawa dan berpengalaman dalam mengendalikan ‘weblog’.

Pensyarah Jabatan Bahasa Moden, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Ghazali Nubari, menjelaskan ‘weblog’ merujuk kepada ruang dan buku catatan di dalam internet dan bersifat peribadi.

"Pemilik ‘weblog’ atau ‘blogger’ boleh mengemaskinikan ‘blog’ mereka setiap hari dengan segala bahan tulisan bersifat peribadi dan bebas mengutarakan idea serta berkongsi dengan khalayak yang memasuki blog mereka,” katanya.

Penggunaan ‘weblog’ di Malaysia bermula pada 1998 di kalangan mereka yang tahu dan mahir dengan teknologi maklumat terbabit dan disusuli dengan kegiatan membuat catatan di dalam internet dan penggunaan ‘weblog’ semakin meluas sejak itu.

Fenomena terbabit dikatakan menjadi semakin subur dengan wujudnya golongan muda seperti penuntut pusat pengajian tinggi yang berminat menulis dan membuat catatan pengalaman peribadi mereka.

“Saya berpendapat memasuki ‘weblog’ lebih senang daripada e-mel. Malahan proses pertukaran idea lebih cepat dibaca atau diketahui antara sesama ‘blogger’ dan pengunjung,” katanya.

Beliau berkata, syarat utama untuk individu yang ingin memasuki atau memiliki ‘weblog’ ialah kemudahan internet dan berkemungkinan pemilik ‘weblog’ atau ‘blogger’ pada masa depan adalah di kalangan pelbagai peringkat umur.

“Interaksi antara pembaca dan ‘blogger’ berkesinambungan kerana setiap ‘weblog’ menyediakan ruang ulasan untuk pembaca dan ‘blogger’ boleh mendapat komen pada kadar segera dan ia peluang untuk penyuntingan karya,” katanya.

Pengarang yang juga peguam, Nisah Haron, menyentuh mengenai hak cipta karya di dalam ‘weblog’ atau ‘blog’ peribadi yang terdedah kepada peniruan terutama jika teks dipaparkan di skrin komputer dan berada di dalam talian.

“Dengan hanya memotong dan menampal, seseorang sudah boleh meniru karya asal seseorang penulis. Saya melihat catatan itu adalah sama, tidak kira anda menulis di skrin komputer atau di atas pelepah tamar,” katanya.

Di dalam istilah perundangan, hanya ada dua keadaan saja yang menerangkan mengenai hak cipta iaitu keaslian dan ekspresi manakala idea sama sekali tidak diiktiraf di bawah undang-undang hak cipta.

"Jika kita bercerita mengenai sesuatu hal kepada orang lain dan si pendengar membuat catatan dalam bentuk kekal, hak cipta terbabit dipegang oleh individu yang membuat catatan,” katanya.

Novelis dan Editor Pengurusan, Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Radhiah Shaharuddin, berkata sehingga kini ramai yang menganggap karya sastera di media maya sebagai sastera kedua dan tidak setanding dengan karya di media cetak.

“Saya pernah hadapi hal ini pada majlis diskusi sastera. Alasannya karya di media cetak melalui proses penyuntingan editor bertauliah manakala karya di ‘weblog’ tidak melalui proses sedemikian,” katanya yang lebih dikenali sebagai Sri Diah.

Sungguhpun demikian Sri Diah secara peribadi mengakui ada sesetengah karya dalam ‘weblog’ berkualiti kerana penulisnya menyiapkan karya mereka selepas mengumpul dan mendengar ulasan pengunjung ‘weblog’.

Lebih memberangsangkan, ada di antara ‘blogger’ memiliki inisiatif mencetak sendiri karya mereka dan langkah terbabit mempamerkan kesungguhan ‘blogger’ untuk melihat karya mereka diterbitkan.

“Saya mengakui hampir 90 peratus ‘weblog’ berupaya menarik peminat sastera untuk lebih mendekati penulisnya. E-novel saya dengan kisahnya yang tergantung dan disengajakan mendapat perhatian daripada pengunjung weblog saya,” katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home