Tuesday, March 29, 2005

Panik Gempa

Oleh Khalid Yassin, Muhamad Ramzi Sanny, Mohamad Safar Ahmad, Al-Abror Mohd Yusof, Manan Samad, Muhd Izawan Baharin, Mohd Sabran Md Sani, Nazarali Saeril dan Sulaiman Yusof
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Tsunami datang lagi! Itulah yang terlintas di fikiran kebanyakan penduduk di pantai barat Semenanjung sebaik merasai gegaran kuat menggoncang bangunan tinggi, sejurus selepas tengah malam tadi.

Ia sekali gus mencetuskan suasana panik disusuli jeritan penghuni flet, kondominium dan hotel sebelum masing-masing bertempiran lari menyelamatkan diri ke kawasan lapang.

Mereka kemudian diberitahu, satu gempa bumi yang boleh menyebabkan ombak besar tsunami berlaku di dasar laut di luar perairan pantai barat Sumatera, Indonesia. Gempa bumi berukuran 8.5 skala Richter itu dikesan berpusat di latitud 2.09 (utara) dan longitud 97.02 (timur), berlaku pada jam 12.09 tengah malam.

Gempa itu berlaku berhampiran pusat gempa yang mencetuskan tsunami pada 26 Disember lalu yang meragut ratusan ribu nyawa penduduk di wilayah Aceh, Sri Lanka, Thailand, Malaysia dan beberapa negara lain.

Bagaimanapun setakat jam 5.30 pagi ini tiada laporan mengenai tsunami di mana-mana kawasan sekitar Lautan Hindi.

Jabatan Perkhidmatan Kaji Cuaca memaklumkan gempa bumi itu dikhuatiri boleh mengakibatkan tsunami yang memusnahkan, sekali gus mendorong pihak berkuasa menasihatkan orang ramai yang tinggal sekitar kawasan pantai di Pulau Pinang, Perak, Kedah, Perlis dan Pulau Langkawi supaya berpindah ke kawasan lebih tinggi.

Ketua Pengarahnya, Chow Kok Kee, berkata gempa bumi ini berpotensi untuk menghasilkan tsunami yang boleh memusnahkan di lautan atau laut di mana gempa itu berlaku.

Di ibu negara, gegaran dapat dirasai di merata tempat terutama bangunan tinggi mencetuskan suasana kelam-kabut dan panik menyebabkan penduduk bergegas menyelamatkan diri dan keluarga masing-masing sehelai sepinggang.

Tinjauan Harian Metro di beberapa flet di sekitar ibu kota seperti Flet Bandaraya, Vista Angkasa di Kampung Kerinchi, Sri Sabah di Cheras, awal pagi tadi, mendapati penduduk berkumpul di luar bangunan sementara menunggu arahan lanjut daripada pihak berkuasa.

Keadaan sama turut dilihat di beberapa hotel dan tempat kunjungan ramai seperti di Jalan Bukit Bintang, di mana orang ramai panik dan terpinga-pinga mengenai apa yang sebenarnya berlaku.

Kebanyakan daripada penduduk yang ditemui terkejut dan tidak menyangka akan berlaku lagi kejadian gegaran kuat terutama selepas tragedi tsunami yang melanda 26 Disember lalu.

Siah Hassan, 44, berkata ketika sedang tidur, dia terkejut akibat kepala bergoyang tetapi menyangkakan anaknya sengaja mengusik.

“Mulanya saya ingatkan pening atau anak sengaja goyangkan katil untuk mengusik saya, tetapi apabila mendapati tiada siapa di situ, saya mula risau.

“Saya bergegas keluar mendapatkan suami yang sedang membaca al-Quran dan dia turut mengatakan rumah kami bergegar,” katanya yang tinggal di tingkat sembilan Flet Pekeliling, di sini.

Bimbang berlaku kejadian lebih buruk, mereka sekeluarga keluar menyelamatkan diri dan mendapati ramai jiran sudah berada di luar bangunan.

“Selama 17 tahun kami tinggal di sini, tidak pernah berlaku sebarang kejadian seperti tengah malam ini (tadi),” katanya.

Pekerja hotel, Hatiah Yahya, 37, berkata ketika gegaran itu berlaku, perkara pertama terlintas di fikiran adalah menyelamatkan anaknya yang berusia sebulan.

“Saya baru pulang dari mengambil anak sulung saya dari rumah jiran. Ketika hendak menukar lampin tiba-tiba berlaku gegaran kuat, menyebabkan saya pening kepala.

“Tetapi dalam keadaan panik itu, saya bergegas keluar dari rumah selepas melihat orang ramai berasak-asak turun tangga menyelamatkan diri,” katanya yang ditemui di Flet Bandaraya, Kampung Kerinchi, di sini.

Dia berkata, ketika saat genting itu, perkara paling penting adalah keselamatan anak dan dirinya kerana bimbang bangunan tempat tinggal mereka mungkin runtuh.

Penduduk, Noridah Sahat, 27, berkata dia terdengar orang menjerit Allahuakbar berulang kali dan meminta semua penduduk di Flet Bandaraya keluar menyelamatkan diri.

“Saya tidak tahu siapa yang menjerit tetapi sebaik mendengarnya saya dan keluarga terus keluar dari rumah tanpa berfikir panjang,” katanya.

Menurutnya, keadaan menjadi kelam-kabut apabila orang ramai berasak menuruni tangga sambil mendukung anak kecil.

Hmetro

0 Comments:

Post a Comment

<< Home